Pages

Tuesday, March 30, 2010

Bangunan UMT runtuh: 1 maut, 4 cedera


Kelihatan anggota Bomba dan Penyelamat menggunakan jentera bagi mengangkat sisa runtuhan untuk mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – Foto Bernama
KUALA TERENGGANU, 29 Mac — Seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh dalam satu kejadian petang ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Pauzan Ahmad berkata buruh terbabit tertimbus dalam konkrit simen yang masih basah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya empat rakan mangsa dilaporkan cedera termasuk seorang cedera parah akibat dihempap dan terjatuh dari para besi yang runtuh ketika kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembinaan konkrit tangki air dan membancuh konkrit di bangunan itu pada kira-kira pukul 5.10 petang.
Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa belum diperolehi, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
“Ketika sedang melakukan kerja-kerja menyiapkan tangki air di tingkat empat bangunan itu iaitu di ketinggian lapan meter, para besi yang diduduki oleh beberapa pekerja tiba-tiba runtuh bersama konkrit tangki air yang masih belum keras.
“Konkrit bersama para besi itu kemudian menimpa beberapa orang lagi pekerja Bangladesh yang sedang melakukan kerja-kerja membancuh simen di bawah,” katanya.
Pauzan berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Anggota penyelamat terdiri daripada polis, bomba, dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) masih berada di tempat kejadian sehingga pukul 8 malam ini untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat jika terdapat mangsa yang masih tertimbus ekoran kejadian itu.
Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur UMT setinggi empat tingkat itu mula dibina pada 15 Dis 2008 dan dijangka siap 18 Oktober tahun ini.
Seorang saksi yang juga juruperunding untuk projek berkenaan Sharif Dollah, 30-an berkata beliau berada di kawasan berhampiran apabila tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan.
“Saya nampak beberapa orang pekerja Bangladesh terjatuh dari para besi yang runtuh itu, dan apabila menghampiri tempat kejadian saya dapati mereka telah berlumuran dengan simen yang masih basah dan ada yang berdarah,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian terdapat kira-kira lapan orang pekerja Bangladesh sedang melakukan kerja-kerja di situ.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said turut melawat tempat kejadian sejurus selepas menerima maklumat tentang kejadian itu.
Beliau melahirkan rasa sedih terhadap kejadian itu dan menyifatkan ia berpunca daripada kecuaian pekerja itu sendiri.
Sehubungan itu, beliau menasihati pekerja-pekerja pembinaan supaya mengutamakan aspek keselamatan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kejadian hari ini. — Bernama

Friday, March 5, 2010

Ustaz Nasharudin Ziarah Ketua Dewan Ulama' PAS

DUNGUN, 5 Mac - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa pagi tadi menziarahi Ketua Dewan Ulama' PAS, Ustaz Harun Taib setelah sekian lama beliau terlantar sakit. Nasharudin yang hadir ke Terengganu mengambil kesempatan tersebut selepas beliau dijemput untuk menghadiri satu program perasmian ijtima' semalam di Dungun.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Ustaz Harun Taib telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 7 Januari 2010 yang lalu. Beliau mengalami tekanan darah tinggi yang yang berlebihan sehingga boleh menyebabkan 'minor stroke'.

Walaubagaimanapun, beliau turut berazam untuk terus berkhidmat dalam perjuangan Islam selagi masih hidup. Meskipun kelihatan masih letih, namun beliau tetap ceria dan bersemangat menyambut kehadiran Timbalan Presiden PAS disamping bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang berlaku di Malaysia dan perkembangan semasa parti.

Semalam Nasharudin Mat Isa telah merasmikan Ijtima' Pelajar-Pelajar Pondok Terengganu di Pondok Darul Bayan, Kampung Pinang Merah, Paka. Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai kepentingan ilmu serta kewajiban beramal dengannya. Beliau turut berharap agar pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di pondok agar sentiasa berdampingan dengan masyarakat supaya dapat membimbing dan mendidik mereka dengan ajaran Islam.

Tambahan lagi, beliau mencadangkan agar dapat menubuhkan Rabithah Pelajar Pengajian Islam Terengganu. Ia bertujuan untuk terus menyuburkan perkembangan tradisi ilmu-ilmu Islam dan berusaha untuk membaiki sistem-sistem pendidikan supaya sejajar dengan kehendak semasa. -ANN

Thursday, March 4, 2010

Solat Hajat Perdana di Rusila 11 Mac

KUALA TERENGGANU, 3 Mac: Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu akan mengadakan Kuliah Maghrib Khas dan Solat Hajat Perdana di Masjid Rusila pada 11 Mac ini.

Setiausahanya, Yahaya Ali berkata, majlis yang dipimpin oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu merupakan usaha menjana semangat dan kekuatan baru kepada semua kepimpinan dan ahli seluruh negeri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh setiausaha PAS cawangan supaya menjemput semua ahli dan penyokong di tempat masing-masing untuk hadir ke majlis yang bermula jam 7.21 hingga 9.30 malam itu.

“Kesungguhan pihak saudara bagi memastikan kehadiran yang ramai dari cawangan saudara sudah tentu merupakan simbol kekuatan kepada parti kita,” ujarnya di dalam surat kepada setiausaha PAS cawangan seluruh negeri.

Menurutnya, Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS negeri, ketua-ketua dan ahli-ahli jawatankuasa dewan-dewan peringkat negeri juga dijemput hadir ke majlis tersebut.

Beliau juga meminta setiausaha PAS kawasan supaya memastikan surat makluman program itu sampai ke cawangan-cawangan.

Monday, February 22, 2010

SUKANEKA KELUARGA UPU GONG PASIR

ASSALAMUALAIKUM

TAMAN RAKYAT JAYA,SABTU- Alhamdulillah ,Sukaneka PAS UPU Gong Pasir telah berjaya diadakan di Padang Permainan taman Rakyat Jaya.

Ustaz Azman Shapawi Abd Rani selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat,turut hadir bagi meraikan masyarakat setempat .

Ustaz Azman Shapawi berkata, "beliau bangga kerana sambutan amat memberangsangkan daripada penduduk sekitar UPU Gong Pasir dan mengharapkan agar PAS dapat mendekati masyarakat melalui program yang seumpama ini".
Beliau yang juga Penasihat PAS MTD Rantau Abang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang sukaneka yang terbahagi kepada tiga kategori.

Acara muslimin yang dijalankan adalah tendang bola gol kecil, lempar bola takraw ke dalam jaring dan hoki gol kecil.

Manakala acara muslimat adalah bowling kelapa, pancing botol dan tiup belon.
Acara kanak-kanak pula adalah bawa bola ping pong dalam sudu,lempar bola takraw dalam jaring dan tiup belon.
Manakala itu pula Pengarah MTD Rantau Abang Tuan Haji Alias Harun mengucapkan terimakasih kepada penduduk sekitar Taman Rakyat dan Gong Pasir yang turut hadir memeriahkan sukaneka tersebut.

Beliau mengharapkan agar PAS berjaya untuk menarik sokongan dengan usaha yang seumpama ini dimasa akan datang, ini kerana PAS adalah sebuah Parti yang mempejuangkan Islam dengan dakwah bukan semata-mata politik,tambahnya.

Sempena Ops Al-Falah ini juga Tuan Haji Alias Harun mengharapkan agar semua ahli di UPU memberi komitmen bagi menjayakan Kempen Berstrategik Daftar Pemilih bagi memantapkan jentera parti dalam PRU ke 13 yang akan datang.














Friday, February 19, 2010

OPS AL-FALAH UPU GONG PASIR

SALAM UKHUWAH,

Alhamdulillah Ops Al Falah (Operasi Gerak Gempur Daftar Pemilih dan Kempen Berstrategik) yang dijalankan selama 3 hari di UPU Gong Pasir telah masuk hari kedua.

Operasi ini menggabungkan seluruh jentera pilihan raya PAS dari semua Cawangan di seluruh DUN Rantau Abang.

Sebanyak 3 Markaz satelit diwujudkan bagi menjalankan usaha gerak gempur ini dan kempen di seluruh UPU Gong Pasir.

Seramai hampir 50 orang petugas terdiri daripada muslimat dan muslimin telah keluar untuk menjayakan Ops Al-Falah pada hari pertama semalam.

Semasa taklimat kepada petugas Tuan Haji Alias Harun, selaku Pengarah MTD Rantau Abang menegaskan bahawa tujuan utama operasi adalah bagi menambah pemilih baru,memberi perkhidmatan dan lain-lain.

"Sasaran kita adalah untuk pergi ke semua rumah yang telah dikenal pasti mengikut culaan awal daripada cawangan dalam UPU Gong Pasir, tambah Hj Alias lagi.


Ziarah terpilih kepada individu tertentu juga turut diadakan yang melibatkan Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat.




Wednesday, February 17, 2010

PERSIAPAN AKHIR OPS AL-FALAH KALI PERTAMA DUN RANTAU ABANG

SALAM UKHUWAH,



Persiapan akhir untuk program Ops Al-falah peringkat MTD Rantau Abang telah sampai kepada hujungnya sebelum tarikh 18hb hingga 20 hb Februari 2010 nanti.

Pengarah MTD Rantau Abang,Tuan Hj Alias Harun berkata sebanyak tiga
(3 )Markaz Satelit diwujudkan untuk Operasi kali ini.

UPU Gong Pasir yang menjadi "pilot" kepada UPU lain dalam DUN Rantau Abang telah menyusun berbagai program termasuk ziarah,sukaneka,ceramah umum,ceramah kelompok,kuliah maghrib dan subuh dan tidak ketinggalan tayangan LCD.

Pemuda Rantau Abang berperanan sebagai pengendali sukaneka dan jejak pemuda,tambahnya lagi.

Acara sukaneka terbahagi kepada tiga iaitu muslimin,muslimat dan acara kanak-kanak  akan diadakan di Taman Permainan Bersebelahan Surau Taman Rakyat Jaya.

Tiket cabutan bertuah akan diberikan kepada orang ramai yang hadir pada acara sukaneka tersebut,demikian sumber dari Pemuda DUN Rantau Abang,Saudara Tarmimi .

Semua cawangan dalam DUN Rantau Abang akan menjadi tenaga bantu kepada 3 markaz satelit yang diwujudkan tersebut terdiri daripada 21 cawangan kesemuanya.

Ketua Penerangan ,Saudara Shafie Agil memberitahu bahawa ceramah umum akan diadakan di Gong Pasir Kiri 2 berhampiran rumah ADUN Paka.

Ini akan memberi kesan kepada pengundi di sekitar kawasan tersebut yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ceramah akan membabitkan Ustaz Azman Shapawi Abd Rani selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat,YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli,ADUN Sura dan juga penceramah jemputan Us Khairul Ikhwan Zaki.

Dalam perjumpaan bersama petugas ,Tuan Haji Alias Harun mengharapkan objektif untuk mengadakan program Ops Al-Falah ini akan memberi semangat motivasi kepada petugas parti untuk menghadapi PRU ke 13 nanti.

Monday, February 15, 2010

Pesuruhjaya PAS Wilayah hilang sejak Khamis


KUALA LUMPUR, 15 Feb — Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Nor(gambar) yang keluar rumah beliau Khamis lalu dikatakan hilang dan tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.
Ketua PAS Wilayah Persekutuan selama dua penggal itu, berusia 52 tahun, dikatakan keluar rumah untuk menghadiri mesyuarat Koperasi Muslimin Berhad pada sebelah malam Khamis lalu dengan memandu kenderaan Unser bernombor pendaftaran WJD 4469.
Sejak itu beliau dikatakan tidak kembali ke rumahnya.
Laporan polis mengenai kehilangan beliau telah dibuat pagi ini, kata Pengerusi Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman Mohamad ketika dihubungi The Malaysian Insider.
“Saya hanya tahu apabila dimaklumkan pagi tadi bahawa keluarganya akan membuat laporan polis... beliau keluar rumah Khamis lalu dan tidak dapat dikesan sejak itu.
“Oleh itu, saya sudah meminta ahli-ahli Pemuda PAS supaya menggerakkan usaha mengesan beliau,” kata beliau yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS pusat.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali yang menghadiri mesyuarat koperasi itu memberitahu Harakahdaily, Mohamad ada memaklumkannya mahu berjumpa dengan kawan beliau tengah malam selepas mesyuarat itu.
“Namun sehingga kini beliau tidak pulang dan tidak juga dapat dihubungi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon ahli PAS berdoa agar Mohamad berada dalam keadaan selamat dan dapat menghubungi keluarganya dengan segera.
“Saya memohon Unit Amal dan Briged Amal agar membuat skuad mencari segera,” katanya.
Dalam pada itu anak Mohamad, Umar berkata kali terakhir ayahnya dilihat adalah di kawasan rehat dan rawat Maran, Pahang pada malam Jumaat lalu.
Katanya, kira-kira pukul 8 pagi keesokan hari telefon beliau dikesan berada di Temerloh, Pahang.
“Sejak itu kami tidak ada sebarang maklumat lagi tentang ayah kami,” kata Umar.
Menurut Umar lagi, perkara ini tidak pernah berlaku ke atas ayahnya kerana beliau akan memaklumkan pergerakannya kepada keluarga mereka.