Pages

Friday, December 25, 2009

Penghargaan Pelajar Cemerlang UPSR SRABSID

DUNGUN 24 Disember Khamis - Seorang pelajar cemerlang UPSR 2009 yang memperolehi keputusan 5A telah menerima kunjungan ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli.Beliau adalah di antara pelajar cemerlang dari Sekolah Rendah Agama Besepadu, Sultan Ismail Dungun.



Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Terengganu yang dibangunkan semasa kerajaan PAS memerintah, telah ditutup ‘secara rasminya’, bersama berakhirnya penggal persekolahan tahun 2009 baru-baru ini.Lanjut boleh dibaca disini.


ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun diiringi oleh AJK PAS Cawangan Balai Besar dan Wakil PEMUDA DUN Rantau Abang turut hadir menemui pelajar tersebut.
 


Adik Anis Nazihah bt Zaki menerima sumbangan dari ADUN Sura, Us Wan Hassan Mohd Ramli bersama SU PAS Cawangan Balai Besar. Adik Anis Nazihah akan meneruskan pembelajaran ke Sekolah IMTIAZ yang mana telah diasaskan semasa pemerintahan PAS 1999-2004  yang lalu.

Pelajar tersebut telah menerima ucapan tahniah dan sumbangan peribadi daripada ADUN Sura dan PAS Cawangan sebagai penghargaan di atas kejayaan masing-masing.

Sebelum ini, beberapa orang pelajar cemerlang UPSR di DUN Sura seramai 76 orang turut dikunjungi oleh ADUN Sura .Lihat di sini.

Dan untuk makluman juga seramai Tiga (3) pelajar dari SRABSID di DUN Rantau Abang juga telah mendapat 5A masing-masing di Cawangan Pulau Serai dan Cawangan Batu Putih.Tahniah dan syabas kepada semua pelajar, moga kecemerlangan ini dapat diteruskan di Sekolah Menengah akan datang.

Monday, December 21, 2009

Sumbangan Ubati Hiba Mangsa Banjir



TAMAN RAKYAT JAYA – Penderitaan penduduk yang berhadapan kejadian banjir dekat sini baru-baru ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Bagi mereka yang berhadapan situasi itu, kesulitan pasti dirasai.

Walaupun bagi pihak ‘mata yang memandang’ menganggapnya ia bukan satu kejadian bencana besar seperti yang berlaku di negara jiran, namun bagi mangsa yang terpaksa memikul beban, susah payah semasa proses pemindahan, suasana berada di pusat banjir dan kerugian yang dialami selepas kejadian terbabit pastinya meninggalkan trauma buat mereka.

Kehibaan yang dialami pastinya sukar diubati. Namun keprihatinan pihak tertentu yang sudi menjenguk dan bertanya khabar sudah cukup untuk mengubat kehibaan hati mereka.

Lebih bermakna, ia turut disertai dengan sumbangan yang mungkin disifatkan tidak seberapa bagi ‘pihak tertentu’ namun amat bererti bagi mangsa bencana alam ini.

Pas Kawasan Dungun, walaupun tidak mempunyai peruntukan besar, namun kesediaan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dengan kerjasama Lajnah Kebajikan Pas Kawasan turut tampil menganjurkan satu majlis khas penyampaian sumbangan kepada 140 mangsa banjir terlibat.

Asiah Ali, 46, yang turut menerima sumbangan, meluahkan penghargaan atas bantuan diberikan dan menyifatkannya sebagai mesej keprihatinan kepada rakyat yang dilanda kesusahan.

“Terima kasih atas sumbangan yang diberikan, walaupun jumlahnya tidak banyak, namun ia dapat digunakan untuk keperluan keluarga.

“Duit yang diperuntukkan untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras dan gula ini boleh digunakan untuk persediaan sekolah anak-anak yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Bagi Kamarudin Abdul Rahman, 48, pula, soal jumlah sumbangan tidak menjadi keutamaan baginya, namun apa yang lebih penting adalah keprihatinan seorang pemimpin terhadap rakyatnya yang ditimpa kesusahan.

“Apa yang lebih penting adalah kelibat seseorang pemimpin sewaktu kami ditimpa musibah menjadi salah satu daripada kayu pengukur terhadap perjuangan beliau yang dikatakan mengutamakan rakyat.

“Jadi perkara ini harus dilaksanakan bukan setakat berkempen sewaktu pilihan raya sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan Pas Kawasan Dungun, Zakariah Yusuf berharap, mangsa banjir terlibat dapat menghadapi setiap ujian dengan tabah dan penuh rasa keimanan.

Sumber Asal : SINAR HARIAN EDISI TERENGGANU-21 DIS 2009

Sunday, December 20, 2009

Kes enjin jet TUDM hilang selesai


PESAWAT pemintas F-5E yang digunakan oleh TUDM.

BAGAN DATOH – Enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada syarikat antarabangsa dari sebuah negara yang berpangkalan di Amerika Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, syarikat antarabangsa itu dipercayai telah mengupah ejen tertentu untuk melarikan enjin pesawat bernilai RM50 juta tersebut ke luar negara.

“Kementerian akan mengambil tindakan daripada segi perundangan peringkat antarabangsa untuk mendakwa syarikat yang terbabit mengupah untuk melarikan enjin itu ke luar negara.

“Mereka yang terbabit dalam kumpulan bawahan Angkatan Tentera Malaysia merupakan pengkhianat kepada negara dan wajar dikenakan undang-undang yang tegas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rakan Alam Sekitar di sini semalam.

Beliau turut mengesahkan dokumen mengenai penjualan enjin itu telah diperoleh oleh polis.

“Syarikat antarabangsa itu berminat membeli enjin itu kerana harganya yang murah, kerana merupakan alat ganti yang dikategorikan sebagai rosak yang akan diperbaiki,” katanya.

KOSMO( 20 DIS 2009 )

Saturday, December 19, 2009

MAJLIS BANTUAN BANJIR TAMAN RAKYAT JAYA


SALAM UKHUWAH,

Alhamdulillah satu MAJLIS BANTUAN MANGSA BANJIR TAMAN RAKYAT JAYA telah berjaya diadakan pada :-

Hari : Sabtu
Tarikh : 19/12/2009
Tempat : Surau Tmn Rakyat Jaya
Anjuran : Majlis Tindakan PAS DUN Rantau Abang
Penyampai : Tn Hj Zakariah Yusof
(Timbalalan Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Dungun)
Bil penerima : 130 orang





Sumbangan berbentuk barang keperluan harian tersebut adalah dibawah selenggaraan pihak PEMUDA DUN RANTAU ABANG sendiri.
Jamuan nasi turut disediakan kepada semua yang hadir



Terimakasih diucapkan kepada semua penderma yang memungkinkan program sumbangan ini dapat dilaksanakan.Semoga mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah SWT.


Ikhlas Dari semua JAWATANKUASA MTD RANTAU ABANG DAN PEMUDA DUN RANTAU ABANG.

SUMBANGAN BANJIR TAMAN RAKYAT@19/12/2009 on PhotoPeach

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

SUMBANGAN BANJIR DUN RANTAU ABANG on PhotoPeach


Sementara itu pula pada 11 Dis 2009 yang lepas Majlis Tindakan DUN Rantau Abang juga turut berkesempatan untuk mengagihkan sumbangan kepada beberapa buah rumah yang terlibat dengan banjir lalu.
Antara cawangan yang terlibat adalah Balai Besar (Kg Paya ),
Binjai/Che Lijah,Serdang,Burung Baru dan Rantau Abang.

Rombongan MTD Rantau Abang disertai oleh Ketua MTD Rantau Abang HJ Alias Harun,Penasihat MTD Us Azman Shapawi Abd Rani,Ketua Muslimat MTD Puan Serena Lim Abdullah dan beberapa orang AJK MTD,Pemuda dan Muslimat
DUN.

Monday, December 14, 2009

Bapa Mertua Dan Menantu Mati Lemas Di Rantau Abang


Ahad Disember 13, 2009
DUNGUN : Percutian tujuh sekeluarga dari Johor di Terengganu bertukar tragedi apabila seorang lelaki dan menantunya mati lemas ketika mandi di pantai Rantau Abang, Dungun hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi semasa Elias Ismail, 54, dan menantunya Badrisham Abd Majid, 29, serta anggota keluarga lain sedang mandi laut.

Beliau berkata Badrisham lemas akibat dipukul ombak dan bapa mertuanya cuba menyelamatkan mangsa namun gagal dan akhirnya kedua-duanya lemas.

"Gerakan mencari kedua-dua mangsa dilancarkan serta-merta dan akhirnya pekerja chalet tempat mangsa tinggal semasa bercuti berjaya membawa kedua-dua mangsa ke pantai," katanya.

Elias yang beralamat di Batu Pahat Johor dan Badrisham dari Subang Jaya Selangor bercuti bersama tiga lagi anggota keluarga mereka di Merantau Inn, Rantau Abang, Dungun.

Dahlan berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan akan dibawa balik ke Batu Pahat hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa mandi laut di pantai Terengganu memandangkan ombak musim tengkujuh masih belum reda.-BERNAMA

Saturday, December 12, 2009

Bocor - Masjid An Naim (Masjid Biru )


Dungun: Sebuah masjid yang siap dibina baru setahun di Sura Jetty di sini, pernah heboh dikaitkan dengan isu nama dan telah mendapat kelulusan untuk sembahyang jumaat pada bulan lepas kini mengalami kebocoran yang serius

Tinjaun Edisi Timur di masjid berkenaan mendapati beberapa baldi dan besan diletak di ruangan tengah, sisi kanan belakang dan ruangan wanita namun karpet dan dinding di ruangan berkenaan tetap dibasahi air hujan.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid An Naim, Mohd Zaki Salleh, berkata masalah kebocoran bermula semenjak tiga bulan yang lepas, keadaan menjadi lebih serius apabila hujan turun dengan lebih-lebih lagi di musim banjir sebegini yang menyebabkan karpet dan dinding menjadi basah dan hapak.

“Apa yang lebih membimbangkan dinding berdekatan fius utama yang terletak di ruangan solat wanita turut basah, perkara yang tidak diingini boleh berlaku bila-bila masa jika kebocoran di kawasan tersebut tidak dibaiki segera,” katanya yang turut kesal dengan sikap pihak kontraktor terbabit yang melengahkan kerja membaik pulih kebocoran walaupun beberapa kali aduan dibuat sejak beberapa bulan yang lalu.

Beliau berkata bimbang dengan keselamatan ahli jemah kipas dan plug dinding di bahagian yang terlibat tidak digunakan bagi mengelak berlaku litar pintas namun begitu beliau bimbang dengan keselamatan ahli jemaah dari luar yang singgah bersembahyang di masjid berkenaan tidak perasan keadaan tersebut.
Muda Mat, 57, berkata bahagian sisi sebelah kanan masjid basah teruk hingga dua baldi air semalaman.

Dengan hujan yang lebat berterusan di musim tengkujuh sebegini, keselesaan ahli qarih masjid dan pengunjung luar yang sentiasa singgah bersembahyang turut terganggu.

Selain itu ruangan masjid yang bersetentang dengan kubah turut dibasahi hujan, terdapat beberapa besen dan baldi diletakkan ahli masjid untuk menakung air hujan.

Menurut beliau lagi keadaan lebih bermasalah bila tiba waktu solat jumaat dan agak memalukan apabila ahli jemaah yang singgah menunaikan solat jumaat mempersoalkan mengapa masjid yang baru, mengalami masalah sebegini rupa.

“Ahli jemaah yang bersolat di bahagian tersebut terpaksa dibasahi hujan dan yang lebih menyedih dan memalukan, kebanyakan mereka adalah orang luar yang yang singgah bersembahyang Jumaat di sini setelah menghantar anak ke sekolah IMTIAZ dan Uitm Cawangan Dungun di sini ataupun berkunjung ke bandar Dungun dan pantai Teluk Lipat yang hanya satu kilometer dari sini,” katanya.

http://disekitardungun.blogspot.com/

Thursday, December 10, 2009

1500 sertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember

Harakahdaily

SHAH ALAM, 9 Dis: Seramai 1500 perwakilan dari ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat akan menyertai konvensyen pertama Pakatan Rakyat 19 Disember ini di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Mereka akan menyaksikan detik penting sejarah besar Pakatan Rakyat dan juga rakyat Malaysia secara amnya, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pakatan Rakyat hari ini.

Konvensyen bertujuan untuk membincangkan 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' yang telah dimeterai oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ke Konvensyen yang akan dihadiri oleh para perwakilan yang mewakili parti-Parti dalam Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

PAS, PKR dan DAP adalah anggota rasmi Pakatan Rakyat. Konvensyen ini dijangka akan merumuskan beberapa perkara penting. Antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Pembentangan kertas 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' akan disampaikan oleh Pemimpin Utama Pakatan Rakyat semasa Konvensyen tersebut.

'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' ini akan menjadi dasar yang diterima, disepakati dan dihormati oleh ketiga-tiga Parti dan muafakat Pakatan Rakyat.

Sekretariat Pakatan Rakyat sebagai penganjur Konvensyen Pakatan Rakyat kali yang pertama ini memaklumkan, tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Konvensyen ini akan berlangsung mulai jam 8.00 pagi hingga 6 petang akan terbuka kepada media di samping para pemerhati.

"Konvensyen Pakatan Rakyat ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa," kata kenyataan itu.

"Diharap pihak tuan/puan dapat hadir atau menghantar wakil untuk hadir meliputi acara yang bersejarah ini. Pendaftaran bagi wakil media boleh dibuat mulai hari ini di www.tinyurl.com/daftarmedia," kata kenyataan itu lagi.

Konvensyen Pakatan Rakyat diumumkan pimpinan pakatan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat ketua pembangkang 21 Oktober lalu.

Semalam Setiausaha Agung Keadilan, Dato Sallehuddin Hashim dilaporkan memberitahu persiapan rapi sedang giat dijalankan menjelang konvensyen tersebut.

Persiapan dibuat dengan kejasama ketiga-tiga parti yang mahu melihat program tersebut berjalan lancar dan membuahkan hasil yang terbaik.

"Persiapan rapi sedang diatur dan semua pihak, ketiga-tiga parti gabungan, sedang bekerja keras bagi menjayakan konvensyen ini,"katanya.

"Lebih 500 perwakilan dijangka hadir dan kita tidak boleh memandang mudah terhadap persiapan yang perlu kita lakukan."

Lagu tema untuk konvensyen tersebut bertajuk "Angin Pendamai" dicipta oleh Ito dari Kumpulan Blues Gang sudah pun siap dalam masa seminggu.

Manakala logonya pula menggunakan asas warna oren dan putih, menggabungkan ikatan kukuh tiga parti, mengelilingi lima kelopak bunga raya yang melambangkan lima kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazandusun.

Monday, December 7, 2009

LAMAN BARU DALAM CUBAAN

SALAM UKHUWAH,

SEDANG DALAM PERCUBAAN TUNGGU KEHADIRAN BLOG DUN RANTAU ABANG AKAN DIRASMIKAN PADA BULAN JANUARI 2010

INSYAALLAH..