Debat bukti sesat

DUNGUN – Naib Ketua Pemuda Pas, Azman Shapawi Abdul Rani mencabar Ketua Pemuda Umno Negeri, Saiful Bahari untuk berdebat secara ilmiah bagi membuktikan sama ada Pas merupakan sebuah parti ajaran sesat seperti yang didakwa pemimpin Umno itu ketika menyampaikan ucapannya sempena Perhimpunan Agung Umno di ibu negara malam kelmarin.

Azman berkata, beliau kesal dengan kenyataan dikeluarkan Saiful yang dianggap tidak berhemah itu dan tiada asas kukuh untuk membuktikan dakwaan yang dibuat.

Azman yang juga bekas calon Dun Rantau Abang berkata, sejak Pas ditubuhkan lebih 30 tahun lalu, mana-mana pengikut Pas belum lagi dibuktikan sesat oleh institusi undang-undang di negara ini.

“Setakat ini belum ada individu yang mengikut perjuangan Pas didakwa atau dibuktikan sesat oleh mana-mana mahkamah di negara ini.

“Kebanyakan kes sesat melibatkan ajaran songsang seperti Ayah Pin dan sebagainya, jadi saya sedia berdebat secara ilmiah dengan Saiful bagi membuktikan dakwaan yang dibuat, kita lihat siapa yang benar dan siapa salah, biar rakyat yang menilainya,” katanya.

Azman berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Saiful dalam Perhimpunan Agung Umno yang mendakwa Pas adalah singkatan kepada parti ajaran sesat dan perjuangan parti berkenaan telah menyalahgunakan agama untuk kepentingan politik mereka.

Menurut Azman, jika Pas merupakan sebuah parti ajaran sesat, kenapa pada suatu ketika Umno pernah menghulurkan tangan persahabatan untuk mengadakan kerjasama dengan Pas.

Ini katanya, pemimpin Umno turut mengiktiraf perjuangan Pas yang pada masa yang sama turut membela Islam dan juga orang Melayu sebagaimana perjuangan Umno.