Pages

Thursday, January 28, 2010

KEBAKARAN DI CAWANGAN PAS BALAI BESAR-DUN RANTAU ABANG


Assalamualaikum wbrt.

Balai Besar,Dungun - Satu keluarga terdiri daripada seorang nenek ,anak serta menantu dan dua cucu tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka dijilat api pada pukul 1 tengahari tadi.kejadian malang ini menimpa sewaktu Razlan b mohamad keluar bekerja sebagai tukang rumah,manakala isteri dan dua anak mereka yang masih kecil dan ibu beliau sempat menyelamatkan diri sewaktu kejadian tersebut.


Nik Ngah dan Razlan Mohammad







Anggaran kerugian adalah sekitar RM 50,000.Menceritakan semasa kejadian Nik Ngah bt Jusoh beliau sempat merangkak keluar dan tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting keluarga beliau.Ini kerana beliau menghadapi  sakit lutut  sejak sekian lama.





Pihak bomba memaklumkan bahawa siasatan akan dijalankan dalam masa 2 hari bagi menentukan punca sebenar kejadian.
Kepada pihak yang sudi untuk menderma bolehlah salurkan menerusi PAS Cawangan Balai Besar atau pun terus kepada keluarga tersebut di Alamat :-
No 159,Jalan Balai Besar ,23000,Dungun .Terengganu.
Selepas asar tadi beberapa orang Ahli PAS Cawangan telah berkesempatan untuk menziarahi keluarga tersebut.Timbalan ketua merangkap Ketua Kebajikan PAS Cawangan Balai Besar telah sudi menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga berkenaan.





Pada waktu yang sama pihak muslimat cawangan juga berkesempatan hadir untuk menziarahi keluarga tersebut dan menyampaikan sumbangan mereka.






Ketua Muslimat Cawangan Balai Besar bertanya khabar dengan Isteri Saudara Razlan Mohammad

Friday, January 22, 2010

Bersiap sedia bersama PR tentang BN


Berita sumber Sinar Harian




KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menafikan sama sekali desas-desus daripada individu tertentu yang mengakui ahli kuat parti itu bahawa Pas semakin ‘malap’ khusus di negeri ini. 

:Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh sebaliknya menjelaskan Pas tetap berada pada kedudukan teguh biarpun pelbagai isu tercetus membabitkan parti itu ketika ini. 



Malah, Pas juga sentiasa bersiap sedia dalam agenda parti untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan gerakan bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) untuk menentang Barisan Nasional (BN). 

“Kita tidak mengiktiraf yang ini (Pas malap). Kita rasa ada orang yang tidak bertanggungjawab dan mungkin kata mereka orang kuat Pas. Kita tidak terima. 

“Apa yang kita nampak keyakinan masyarakat umum pada Pas tidak berubah dan yang disebut-sebut itu mungkin kenyataan politik daripada golongan tertentu,” katanya kepada media ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, Jalan Sultan Omar, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung rungutan dan desas-desus daripada individu tertentu yang mengakui ahli Pas bahawa Pas di negeri ini khususnya semakin malap dan menganggap pemimpin tidak membuat apa-apa untuk memperkukuh parti. 

Dalam perkembangan terbaru, Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat berkata, pihaknya ketika ini sedang mengadakan perbincangan untuk mengorak langkah bagi Pilihan Raya Umum ke-13. 

Menurutnya, ia merupakan satu perbincangan serius untuk memastikan kemenangan Pas dan PR, sambil memberitahu yakin dengan gerakan yang akan dilakukan kelak mampu memberi hasil kepada pembangkang. 

“Realiti kebangkitan ini wujud dan sebab itu kita nampak arus politik perdana dalam negara. Kalau di Perak, BN tidak mampu mengendali PR kerana gerun dengan kebangkitan Pas dan PR,” katanya.

Thursday, January 21, 2010

Terengganu rombak pentadbiran 1 Februari




KUALA TERENGGANU 20 Jan. - Kerajaan negeri hari ini mengumumkan rombakan secara besar-besaran dalam pentadbirannya yang melibatkan pertukaran dan kenaikan pangkat 48 pegawai tadbir kanan negeri berkuatkuasa 1 Februari ini.

Rombakan itu dibuat berikut persaraan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK), Datuk Mokhtar Nong pada minggu lalu.

Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mazlan Ngah sebelum ini telah dilantik sebagai Pemangku SUK manakala Pengarah Tanah dan Galian negeri (PTG), Datuk Abdul Razak Ismail pula dilantik sebagai Pegawai Kewangan negeri yang baru.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pertukaran dan rombakan tersebut adalah perkara biasa dan dibuat berikutan persaraan Mokhtar.

''Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim akan memegang jawatan Timbalan SUK (Pembangunan) dan tempatnya pula diisi oleh Datuk Azlan Mohd. Dagang yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan SUK (Pembangunan),'' katanya selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Mustofa Abd. Rahman dilantik sebagai Pegawai Daerah Dungun manakala tempatnya diisi oleh Husain Embong yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan SUK (Pengurusan).

''Setiausaha Sulit Kanan Kepada Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda akan menggantikan Husain manakala Tuan Mamat Tuan Ngah daripada pejabat SUK dilantik sebagai Pegawai Daerah Besut," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Datuk Alim Muda dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Skills Development Center (Tesdec) manakala tempatnya diganti Pegawai Daerah Setiu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, tempat Wan Nawawi digantikan dengan Pengarah Institut Integriti negeri, Mohd. Akil Mat manakala Pegawai Daerah Dungun, Zulkifli Mohamad, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).


Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Osman Muda akan memegang jawatan Pengarah PTG manakala tempat beliau digantikan oleh Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Mustafar Khalid.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Aziz Mat, dilantik sebagai Pengarah Yayasan Terengganu dan tempatnya diganti oleh Pegawai Daerah Besut, Wan Mohd. Wan Ibrahim.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Mohd. Zulkifli Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Makro) UPEN dan tempatnya diganti oleh Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Md. Kamaru Al-Amin Ismail.

Pengarah Bahagian Pengurusan Kompleks Sukan, Arpin Draman dilantik sebagai Pengarah Integriti Negeri manakala Ketua Penolong Pentadbir Tanah Dungun, Rosman Ismail akan menyandang jawatan Timbalan Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) Jabatan Kerja Raya Negeri.

Setiausaha Majlis Daerah Setiu, Anuar Nik Mohamad Noor pula dilantik sebagai Ketua Penolong SUK (Perumahan) dan Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun, Mohd. Sophian Abu Bakar memegang jawatan Pengarah Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia Majlis Perbandaran Kemaman.Berita selanjutnya dari Portal Kerajaan Negeri Terengganu.

Monday, January 18, 2010

Rakyat bukan merajuk, tetapi menolak BN


KUALA TERENGGANU – Rakyat bukan ‘merajuk’ dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN), kerana jika mereka merajuk masih boleh dipujuk, sebaliknya rakyat telah menolak sama sekali kepimpinan BN kerana sudah cukup lama masa diberi tetapi masalah rakyat tetap tidak berubah.

Demikian kata Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Azman Shapawi Abdul Rani yang mempersoalkan tindakan kerajaan yang cuba memenangi hati rakyat dengan memperkenalkan program ‘Juara Rakyat’.

Katanya, kerajaan BN telah diberi banyak peluang sebelum ini, namun masalah rakyat didakwanya masih belum selesai.

Sehubungan itu, beliau percaya Juara Rakyat adalah usaha pihak terlibat untuk mengambil kembali hati rakyat.

“Rakyat telah beri peluang lebih 50 tahun sesuai dengan masalah yang berlaku terhadap rakyat. Jadi kenapa sekarang timbul kesungguhan untuk memenangi rakyat kembali,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Program Juara Rakyat diperkenalkan kerajaan melibatkan aktiviti tertentu untuk mendekatkan BN dengan rakyat sekali gus menggerakkan jentera parti dengan lebih proaktif.

Bagaimanapun, Azman yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat menganggap program terbabit tidak akan mendatangkan keuntungan kepada rakyat.

Beliau berkata, rakyat sudah mengenali parti kerajaan itu sejak sekian lama dan tema ‘Juara Rakyat’ itu tidak akan sesekali mengubah pendirian rakyat untuk kembali kepada BN.

Azman yakin, rakyat sudah menolak kepimpinan BN dan penolakan itu dijangka berterusan dalam pilihan raya umum akan datang.Sumber dari Sinar Harian

PENGUMUMAN CERAMAH DI DUNGUN


Saturday, January 16, 2010

PERISTIWA HARI - JUMAAT, 15 JANUARI 2010

SALAMM UKHUWAH,
Jumaat Penghulu segala hari,15 Januari 2010 amat baik cuaca.Gerhana Matahari yang berlaku pada 345 petang tadi telah mencatatkan beberapa peristiwa dalam DUN Rantau Abang.


Pada sebelah pagi tadi Jawatankuasa DUN diketua oleh Pengerusi DUN Tuan Haji Alias Harun dan disertai oleh beberapa oang AJK Pemuda dan Muslimat DUN berkesempatan menziarahi Saudara Azhan di Delong.Tujuan lawatan adalah bagi menyampaikan sumbangan Tabung Harakah kepada beliau.Pada masa yang sama pihak Pemuda DUN telah menyumbang sedikit bekalan harian untuk keluarga Azhan.

Untuk maklumat saudara Azhan telah ditimpa musibah kebakaran rumah beliau pada tahun 2007 dahulu.Pihak Pemuda DUN telah membuat permohonan kepada Tabung Harakah bagi meringankan beban saudara Azhan.Ini merupakan sumbangan kali kedua daripada Tabung Harakah tersebut.Kami mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak HARAKAH kerana sumbangan ini.


Tn Hj Alias Harun menyampaikan sumbangan diperhatikan oleh Bendahari DUN dan Ketua Cawangan Delong,Hj Musa.


Pihak muslimat juga menyampaikan sedikit sumbangan mereka kepada isteri saudara Azhan



Pada jam lebih kurang 1130 pagi Tuan Hj Alias Harun berkesempatan untuk menyertai program kacau bubur assyura yang diadakan oleh PAS Cawangan Gong Pasir.Majlis bertempat di PASTI Qaryah Gong Pasir.Sebanyak dua kawah  bubur assyura berjaya disediakan oleh pihak Cawangan Gong Pasir.

Khutbah Jumaat di DUN Rantau Abang pada hari tersebut telah disampaikan oleh Ketua Penerangan Negeri seorang ulama iaitulah Ybhg Us Nik Mohd Zawawi Nik Salleh, di Masjid Pulau Serai.


Jemaah Surau Taman Rakyat sedia menyediakan liang di kubur Gong Pasir

Berita kematian seorang muslimat cawangan Balai Besar telah mengejutkan pihak DUN sejurus selessai sembahyang Jumaat,Beliau adalah ibu kepada Saudari La,yang pernah bertugas di Pejabat Khidmat Masyarakat MTD Rantau Abang dari 2001-2007.Allahyarhamah merupakan seorang ibu tunggal yang menyara anak beliau dengan membuat kuih muih untuk dipasarkan sekitar bandar Dungun.Beliau juga adalah penyedia makanan kepada beberapa program pemuda dan juga DUN.

Pihak Pemuda dan MTD mengucapkan takziah kepada keluarga Saudari La dan mendoakan semoga arwah ibunya akan bersama mereka yang soleh di sisi Allah SWT dan dicucuri rahmatNya.

ADUN Sura Us Wan hassan Mohd Ramli telah berkesempatan hadir untuk solat jenazah dan seterusnya membaca talkin


Semoga paparan hari ini memberi pengajaran kepada kita semua tentang perjalanan hidup kita yang sentiasa terdedah dengan peristiwa suka duka.Hidup mati,susah senang adalah ujian daripada Allah SWT.Semoga kita sentiasa Istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam di bumi Malaysia ini.

Hisablah diri Kamu sebelum Kamu Dihisabkan
Dari Tanah Kita Datang, Kepada Tanah Kita Kembali.....
Jumpa Lagi.

Tuesday, January 12, 2010

Merosakkan Gereja Perbuatan Melampau

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS menyifatkan serangan terhadap gereja di ibu negara kelmarin, sebagai tindakan provokasi
daripada pihak tertentu agar isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain menjadi lebih tegang.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, insiden itu dianggap melampau dan orang Islam dilarang memusnahkan ataupun merosakkan rumah ibadat agama lain sebagai cara menghormati mereka.

Menurutnya yang turut mengutuk serangan berkenaan, sekiranya perkara itu tidak ditangani dengan baik dan berkesan, beliau bimbang wujudnya persepsi ataupun pandangan negatif agama lain terhadap Islam.

“Kita juga bimbang penganut agama Kristian akan melakukan serangan balas terhadap masjid sehingga timbulnya masalah perkauman. Justeru, pihak berkuasa harus menyiasat, cari siapa sebenarnya terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tiga insiden membaling bom buatan sendiri di tiga gereja iaitu Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati; Gereja Assumption Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara.

Azman Shapawi berkata, insiden itu menunjukkan isu membenarkan agama lain menggunakan kalimah Allah semakin buruk apabila wujudnya percubaan melaga-lagakan kedua-dua agama supaya bertelagah sesama sendiri.

“Apa pun kita berpendapat, perkara ini boleh diselesaikan di luar mahkamah asalkan adanya perbincangan daripada pihak Islam dan Kristian.

“Menyedari hakikat ini, Pas akan mengadakan dialog dengan paderi Kristian mengenai agama dan dengan usaha ini diharap, tidak ada lagi gangguan terhadap Islam, selain menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya.

Saturday, January 9, 2010

DAURAH TADRIBIYAH SIRI 2 MTD RANTAU ABANG

CORAT CORET DAURAH YANG BERLANGSUNG PADA SABTU 9 JANUARI 2010 BERTEMPAT DI DEWAN SURAU TAMAN RAKYAT JAYA

SEHARI BERSAMA NAIB PRESEDIN US DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN

SALAM UKHUWAH,


JUMAAT 8 HB JANUARI 2010,DUNGUN, Alhamdulillah hari ini PAS Kawasan Dungun amat bertuah kerana telah dikunjungi oleh seorang Naib Presedin PAS Pusat yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang.
Jutaan terimakasih kepada Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man kerana kunjungan yang amat bermakna ini.


Acara pertama kunjugan beliau adalah Motivasi Keluarga yang dianjurkan oleh Muslimat PAS Kawasan Dungun diadakan di Surau Tuan Guru Hj Zainal Abidin,Sura Gate.Us Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan ceramah motivasi beliau yang menyentuh tentang akidah anak muda sekarang yang rosak.Beliau turut berkongsi mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang hangat diperkatakan sekarang.Motivasi beliau banyak menyentuh mengenai peranan ibubapa dalam mengamalkan islam yang sebenarnya dalam mendidik anak.


Kuliah Maghrib oleh Us Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pula diadakan di Surau Taman Rakyat Jaya  dalam DUN Rantau Abang.Dalam kuliah tersebut Ustaz telah banyak menyentuh tentang kepentingan politik islam.Bagaimana kuasa amat diperlukan dalam sesebuah negara bagi menjalankan amar makruf nahi mungkar.Isu penggunaan kalimah Allah juga turut disampaikan dengan memberi dalil dan hujah yang amat menarik sekali.Penggunaan nama Allah adalah amat baik tetapi bimbang akan orang islam sendiri yang keliru dan terpesong akibat jahil,ini yang amat dibimbangkan.



Lawatan ke Dungun dia diakhiri dengan Ceramah Isu Semasa yang diadakan di Surau Wan Ahmad, Bukit Chatak 2 berssama dengan YDP PAS Kawasan yang juga ADUN Sura, Us Wan Hassan Mohd Ramli dan Us Wan Shukairi,Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu


Friday, January 8, 2010

USRAH PERDANA PEMUDA DUN 2010

SALAM UKHUWAH,
Alhamdulillah, satu Program Usrah Perdana peringkat   Pemuda DUN Rantau Abang telah berjaya diadakan pada 5 Januari 2010 bersamaan 19 Muharam 1431.Program tersebut diadakan di Surau Che Lijah/Binjai.Naqib yang sepatutnya dikendalikan oleh Ketua Pemuda PAS kawasan Dungun, tapi atas sebab yang tak dapat dielakkan Naqib telah bertukar kepada Ketua Pemuda DUN sendiri yang merupakan Ketua Lajnah Tarbiyak PAS kawasan Dungun.

Naqib telah membentangkan kertas kerja yang telah diturunkan dari peringkat Kawasan mengenai cici-ciri orang yang berjuang dalam menegakkan Islam .Beberapa pesanan dan saranan juga turut diperkatan kepada semua pemuda yang hadir bagi menghadapi PRU 13 yang akan datang.Beliau juga turut menegaskan kepentingan wala' dan siqah dalam perjuangan .

Program disudahi dengan jamuan sambil dihidangkan tayangan LCD oleh Penerangan MTD berkisar oleh peristiwa semasa dan petikan ucapan dari Wacan Perdana yang diadakan di Kota Bharu.
usrah on PhotoPeachusrah on PhotoPeach
Semoga usrah dapat diteruskan di peringkat cawangan masing-masing selepas ini dan semoga tahun 2010 ini, pemuda DUN Rantau Abang akan terus menjalankan program-program yang dapat menambat hati pebgundi muda di DUN Rantau Abang ini sendiri.

Kalimah Allah dan Syariat Allah


[Allah.jpg]1. Banyak pihak begitu marah dan tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah tinggi baru - baru ini yang membenarkan sebuah akhbar [ Herald ] menggunakan nama Allah dalam penerbitan mereka .

2. Pendirian saya sendiri jelas dan tidak pernah berubah sehingga saat ini , bahawa kalimah Allah swt adalah Lafzul Jalaalah yang merujuk kepada keesaan Allah swt. Firman Allah swt :

قل هو الله أحد الله الصمد لم يلد و لم يولد و لم يكن له كفوا أحد

Katakanlah [ Wahai Muhammad ] Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa . Allah tempat bergantung dan meminta segala sesuatu . [ Allah ] tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya .

Surah al Ikhlas : 1-4

3. Sesiapa pun [ muslim atau non muslim ] yang mahu menggunakan kalimah Allahmestilah menggunakannya dengan betul iaitu Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada sekutu baginya . Haram dan kufur jika kita membenarkan perbuatan , tindakan atau kenyataan yang menduakan [ mensyirikkan ] Allah swt . Seperti membenarkan perkataan orang yang berkata : " Allah itu ada anak " dan seumpamanya . Kerana perkataan itu salah dan bertentangan dengan keEsaan Allah swt. walau siapa [ non muslim atau muslim ] yang berkata demikian .

4. Allah swt sendiri murka terhadap mereka yang menggunakan kalimah Allah secara salah [ dengan berkata Allah mempunyai anak ] , maka bagaimana mungkin kita boleh bersetuju dan redha jika ada yang menggunakan kalimah Allah secara salah seperti mensyirikkan Allah swt [ menganggap Allah ada anak dan isteri atau menduakan Allah dengan tuhan yang lain ] Firman Allah swt :

و قالوا اتخذ الرحمن ولدا لقد جئتم شيئا إدا تكاد السموات يتفطرن منه و تنشق الأرض و تخر الجبال هدا أن دعوا للرحمن ولد

dan mereka berkata Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak . Sungguh kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar . Hampir saja langit pecah dan bumi terbelah dan gunung ganang runtuh kerana kenyataan [ ucapan ] itu . Kerana mereka menganggap Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak .

Surah Maryam : 88 - 91

أئنكم لتشهدون أن مع الله ءالهة أخرى قل لا أشهد قل إنما هو اله واحد وإنني برئ مما تشركون

Dapatkah [ bolehkah ] kamu benar - benar bersaksi bahawa ada tuhan - tuhan lain selain Allah ? Katakanlah : Aku tidak dapat bersaksi . Katakanlah : Sesungguhnya Dialah [ Allah ] Tuhan Yang Maha Esa dan aku berlepas diri [ tidak boleh sokong/terima ] terhadap apa yang kamu sekutukan dengan Allah swt .

Surah Al An'am : 19

5. Manakala pengguna kalimah Allah swt secara benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt itu sendiri yang telah mengisytiharkan zatNya tiada sekutu dan bandingan [ seperti yang termaktub di dalam surah al ikhlas ] , maka ia adalah pengguna yang bijak dan benar , malah dibenarkan sekalipun ia seorang non muslim . Inilah yang Allah swt sebut di dalam al Quran :

ولئن سألتهم من خلق السموات و الأرض و سخر الشمس و القمر ليقولن الله فأنى يؤفكون

dan jika engkau bertanya kepada mereka : " siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan ?" nescaya mereka menjawab Allah ! maka , kenapa mereka masih boleh berpaling dari kebenaran .

Surah al Ankabut : 61

Sekitar pemafahaman dari ayat ini :

a ] Ayat ini secara jelas menunjukkan bagaimana Allah menegaskan bahawa sebahagian non muslim terutama ahli kitab mengakui bahawa Allah swt. adalah pencipta langit dan bumi [ begitulah jawapan jika ditanya kepada mereka .]

b ] Ayat ini juga bukanlah dalil mutlak untuk membenarkan golongan non muslim menggunakan kalimah Allah swt sewenang - wenangnya apatah lagi jika diguna secara salah . Sebaliknya ayat ini adalah penegasan Allah swt bahawa mereka mengakui Allah swt sebagai pencipta .

c ] Ia juga bukan dialog antara kuffar dengan Nabi saw. tetapi ia adalah ayat Allah untuk menjelaskan hakikat sanubari mereka , bahawa mereka tidak boleh menyembunyikan fakta ketuhanan Allah sebagai pencipta dan pemberi rezeki . Sebab itu ayat ini bermula dengan : [ Jika sekiranya kamu bertanya kepada mereka ..... ertinya ayat ini bersifat jika atau andainya .... ia bukan dialog sebenar ]

d ] Persoalan isu aqidah dalam ayat ini terhenti di atas perkataan terakhir dari ayat ini : " maka ... kenapalah mereka masih boleh berpaling dari kebenaran ? " ertinya : walau hati kecil mereka mengakui bahawa Allah swt adalah pencipta langit dan bumi , maka kenapa mereka masih berpaling dari kebenaran itu ? kenapa mereka masih mensyirikkan Allah swt ? kenapa mereka mengambil tuhan - tuhan yang lain selain daripada Allah swt ? kenapa mereka tidak menerima wahyu Allah swt yang melantik Muhammad saw sebagai rasul akhir zaman ? kenapa mereka berpaling dari kebenaran ? kenapa ?

e ] persoalan yang dicetus pada akhir ayat 61 surah al Ankabut ini jelas menunjukkan Allah swt membenarkan jika mereka mahu berkata [ menggunakan kalimah ] Allah sebagai tuhan yang mencipta langit dan bumi , tetapi jika mereka mahu mensyirikkan Allah swt atau mengambil tuhan yang lain selain Allah swt , maka ia dimurkai oleh Allah swt .

6. Tidak hanya menggunakan kalimah Allah swt secara salah [ seperti menduakan Allah swt ] sahaja yang mesti ditolak , tetapi juga termasuklah perbuatan mempersenda dan mengabaikan perlaksanaan syariat Allah swt. juga mesti ditentang dan ditolak .

7. Isu kalimah Allah ini baru timbul sehari dua dalam negara kita , tetapi pengabaian terhadap perlaksanaan syariat Allah swt telah berlaku sejak dulu . Hairannya , tiada pula orang nak marah . Malah mahkamah tinggi Malaysia pernah mengisytiharkan Malaysia bukan Negara Islam , tiada pula berlaku kebangkitan di kalangan ummat Islam untuk membantah keputusan tersebut . Kecuali sebahagian kecil ummat Islam yang konsisten berjuang untuk mendaulatkan syariat Allah swt . termasuk PAS .

8. Terlalu banyak aktiviti dalam negara kita yang bertentangan dengan syariat Allah . Mengalungkan bunga ke tugu kebangsaan sebagai contoh , telah jelas ada fatwa dari majlis fatwa kebangsaan , tetapi kerajaan masih mengamalkannya saban tahun . Tiada pula amukan dari PERKASA untuk membantah amalan itu . Sedang itu secara terang terangan menghina majlis fatwa dan menghina agama Allah . Apakah kerana ia dilakukan oleh orang yang mengaku muslim maka ia tidak diambil endah ?

9. Al Amru bil makruf dan an Nahyu anil Mungkar sebagai asas sebuah pemerintahan Islam tidak diamalkan dengan penuh tanggungjawab dalam negara kita . Terkadang seperti sengaja mereka mahu memperkecilkan ajaran Islam . Mereka buat tempat maksiat seperti kelab - kelab malam yang bercambah lalu mereka melantik pencegah maksiat supaya membuat operasi sesekali dihujung hujung bulan .

10. Bukankah ini satu persendaan ? mereka buat masjid mereka juga buat kelab malam . Mereka buat musabaqah al Quran mereka buat juga pertandingan ratu cantik . Mereka buat universiti Islam , mereka juga buat akademi fantasia . Mereka memberi sumbangan kepada fakir miskin , mereka juga melakukan rasuah dan membolot harta kekayaan negara.Mereka bukan buat amar makruf Nahi Mungkar tetapi Amar Makruf Amar Mungkar.Ini satu persendaan kepada syariat Allah swt . Ini juga mesti ditentang dan ditolak.

Monday, January 4, 2010

KULIAH MAGHRIB-NAIB PRESEDIN


Manusia tidak gunakan akal, lebih teruk daripada haiwan - Tafsir surah al-An'am ayat 35-36




Ditulis oleh Presiden PASJumaat, 25 Disember 2009 10:18
Haiwan yang tidak berakal sentiasa tunduk kepada apa yang ditentukan oleh Allah ke atasnya tanpa sebarang pilihan lagi. Tetapi manusia khususnya yang mempunyai akal ada yang memilih selain perintah Allah untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka.
Mereka menjadikan perintah hawa nafsu sebagai sekutu Allah dalam mengatur kehidupan di dunia. Mereka tidak menerima hidayah Allah lalu mereka menjadi manusia yang sesat dan pada hari akhirat kelak dihumbankan ke dalam neraka Allah SWT.
Allah berfirman yang bermaksud "oleh itu, janganlah kamu menjadi (salah seorang) dari orang-orang yang jahil." (Surah al-An'am :35)
Ertinya janganlah pula kamu terdiri daripada orang yang tidak mengetahui bahawa Allah boleh menentukan semua manusia menerima agama yang satu (Islam) jika Allah menghendaki-Nya (wahai Muhammad s.a.w). Tetapi Allah jadikan mereka tidak menerima hidayah kerana pilihan mereka sendiri bukan dipaksakan ke atas mereka sebagaimana dipaksakan ke atas haiwan yang tidak berakal menerima segala ketentuan Allah tanpa pilihan lagi.
Oleh itu janganlah engkau (hai Muhammad s.a.w) merasakan pembohongan dan penentangan orang-orang kafir terhadap kamu, suatu yang amat besar dan besar bagimu sehingga engkau meninggalkan dakwah dan perjuangan Islam.
Anggaplah semua itu suatu yang lumrah dan ujian yang mesti datang yang ditentukan oleh Allah ke atas setiap rasul-hai Muhammad. Anggaplah semua itu masalah biasa sahaja dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.
Yang penting ialah kamu sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah menolong kamu dan meneguhkan pendirian kamu." (Surah Muhammad:7)
Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud,"Hanya orang-orang yang menyahut (seruan-MU itu) ialah orang yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran)." (Surah al-An'am:36)
Dalam ayat ini Allah SWT memperingatkan Nabi s.a.w bahawa janganlah baginda merasa berat hati dan terlalu sukar menghadapi penentangan yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah (orang-orang kafir) dan terhadap sikap mereka yang tidak mahu menyahut seruan dakwahnya, mengesakan Allah dan mengakui kenabiannya.
Ini kerana sesungguhnya tidaklah orang yang menyahut seruan dakwah Nabi s.a.w melainkan sesungguhnya Allah telah membuka pendengaran mereka untuk menerima kebenaran dan mempermudahkan mereka untuk mengikut jalan-Nya.
Inilah antara sifat yang ada pada orang yang beriman yang sentiasa mahu menerima kebenaran dan berada di atas jalan yang betul, tidak pernah menutup mata hati mereka untuk berbuat demikian.
Berlawanan sifatnya dengan mereka yang kafir, mereka tidak mahu mendengar dakwah Nabi s.a.w walaupun telinga mereka tidak pekak.
Mereka tidak mahu memahami apa yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi s.a.w sebagaimana binatang ternakan tidak memahami apa yang dicakapkan oleh pengembalanya walaupun ada telinga dan dapat mendengarnya.
Bahkan orang kafir itu lebih teruk lagi berbanding dengan haiwan tersebut dinisbahkan dengan akal fikiran yang dikurnia oleh Allah kepada mereka.
Mata hati mereka itu telah tertutup tidak dapat melihat dan tidak dapat menerima kebenaran. Mereka itu seolah-olah seperti orang mati, tidak dapat melihat, mendengar dan merasakan sesuatu dengan hati mereka. Oleh kerana hati mereka mati (tertutup dari menerima kebenaran), Allah sifatkan jasad mereka juga seolah-olah seperti orang mati dengan firman yang bermaksud," dan orang-orang yang mati, Allah akan bangkitkan mereka semula." (Surah al-An'am :36)
Ahli tafsir berkata, orang-orang yang kafir akan dibangkitkan pada hari kiamat bersama-sama dengan orang-orang yang mati, yakni golongan yang memekakkan telinga, membutakan mata dan memetraikan hati mereka dari mendengar Islam dan menerima dakwah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dan para ulama di dunia dahulu.
Mereka dibangkitkan untuk menerima balasan yang setimpal dengan kekufuran mereka terhadap ayat-ayat Allah dan perintah Nabi-Nya s.a.w

Friday, January 1, 2010

PELANCARAN BLOG MTD RANTAU ABANG SECARA RASMI

SALAM UKHUWAH,

Jumaat - 1 hb Januari 2010/15 Muharam 1431 H, Alhamdulillah Blog MTD Rantau Abang akhirnya dirasmikan oleh Pengarah MTD sendiri iaitu Tuan Haji Alias Harun semasa mesyuarat MTD Rantau Abang pada petang tadi, seperti yang telah dijanjikan pada hari ini 01/01/2010.Semoga blog ini akan berada di persada alam maya ini dengan berita dan isu tempatan dan juga nasional.

Diharapkan juga agar blog ini menjadi medan untuk menyampaikan agenda PAS khususnya kepada pengundi di DUN Rantau Abang ini sendiri.Sebagai Parti yang memperjuangkan islam di Malaysia amnya dan Terengganu khususnya diharap blog ini akan menjadi satu agenda penerangan dan dakwah kepada semua.

Dalam majlis yang sama turut juga disampaikan sijil keahlian PAS yang baru kepada wakil cawangan masing-masing.Semoga mendapat sokongan dan dokongan daripada semua ahli terutamanya bagi memajukan blog ini di arena maya ini.

Dikesempatan ini kami ingin mengucapkan berbanyak terimakasih kepada Pengarah DUN Tuan Haji Alias Harun yang sudi untuk melancarkan blog ini.

Wassalam